Salam kepada semua pembaca setia ibudoakan.com.. Maafkan Ibu kerana sudah lama tidak menulis diruangan ini. Ini kerana kami, Ibu dan Ikhwan terkena keracunan makanan yang menyebabkan Ibu mengalami muntah berterusan.
Rasanya kali terakhir Ibu terkena keracunan makanan adalah semasa peperiksaan kertas terakhir semasa menuntut di Unimap dulu. Sepanjang peperiksaan yang selama 2 jam setengah, Ibu terpaksa berulang alik ke tandas ataupun longkang kerana muntah.
Kali ini simptonnya sama, muntah berterusan sehingga sampai satu masa ‘muntah angin’ je yang ada. Ikhwan yang masih kecik tu pun mengalami munah yang sama kerana anak itu masih lagi menyusu badan daripada Ibu. 2 hari kami mengalami tiada selera untuk makan dan hanyalah nutriferon, vitamin c dan air tenaga peneman kami.
Keracunan Makanan
Keracunan makanan/ food poisioning ialah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
Apa yang menyebabkan keracunan makanan?
- Bakteria atau racun (toksin) bakteria tersebut dan virus.
- Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai.
- Logam berat seperti tembaga, raksa dan plumbum.
- Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasilan laut bercengkerang seperti kekerang.
Antara sebab di atas, Ibu terkena keracunan makanan adalah disebabkan berjangkit daripada anak saudara yang berkongsi makanan dan minuman di rumah kami. Sebab kalau sebab pemakanan, suami Ibu dan anak sulong kami tidak berjangkit.
Selain daripada mengambil ubat klinik untuk menghentikan muntah, kami juga mencuba cara petua lama warisan daripada arwah mak.
1. Air kelapa muda
Pengambilan air kelapa muda yang terus daripada buah, mampu menghilangkan rasa sakit perut. Air kelapa juga Ibu berikan pada anak Ibu.
2. Pucuk daun jambu batu
Ambil pucuk daun jambu batu dan basuh cuci- cuci. Terus makan seperti makan ulam. Rasanya pahit namun ianya sangat berkesan. Dalam masa 2 jam cirit- birit akan berhenti dengan sendirinya.
Selain daripada 2 petua ini, di sini Ibu kongsikan juga cara lain keratan majalah mingguan wanita Feb 2014.
3. Teh
Caranya adalah dengan membancuh teh tanpa gula. Juga untuk rasa yang lebih enak boleh juga ditambah madu , pudina atau daun basil.
4. Halia
Cara penyediannya mudah sahaja iaitu ambil sesudu madu dan kacau bersama larutan air halia. Dipercayai formula ini berupaya mencegah masalah radang dalam perut sekaligus menghilangkan rasa sakit disebabkan keracunan.
5. Buah Delima
Dimakan begitu sahaja, ia juga boleh digunakan untuk mencegah rasa mual serta muntah yang disebabkan oleh keracunan makanan. Disamping itu, kulit buah dan kulit pokok delima juga dipercayai mampu dijadikan ubat untuk keracunan makanan.
6. Gula Merah
Gunakan gula merah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga akibat keletihan dengan cirit- birit dan muntah- muntah. Bancuh dengan air suam dan minum.
7. Yogurt
Yogurt mudah sahaja dikaitkan dengan diet, kesihatan dan sistem pencernaan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh digunakan untuk mengurangkan sakit akibat keracunan makanan.
8. Lemon
Hanya dapatkan tiga ke empat gelas jus lemon bagi menghilangkan rasa keracunan. bagi menambah keberkesanannya maka tambahkan sedikit garam pada jus tadi.
Selamat mencuba kepada sesiapa yang terkena keracunan makanan. Mungkin petua diatas boleh mencegah sakit perut secara semulajadi tanpa perlunya ubat- ubatan daripada klinik. Bagi Ibu, pucuk jambu batu memang power. Tapi pahitnya hanya orang- orang tertentu dapat menahan rasanya.
~ Ubat itukan pahit ~